fb fb fb fb fb

Dua lelaki Myanmar didakwa bunuh pekerja kebun durian

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong hari ini

BENTONG, 2 Februari- Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret sini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja kebun durian pada 20 Januari lalu.

Tertuduh, Aung Naing Tun, 31, dan Ai Kyaw Lin Tun, 26, hanya menunduk kepala selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua suspek telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Ai Kyaw Htin, 29, di sebuah pondok di Lot 2866 Jalan Chamang, sini, pada kira-kira pukul 2.00 pagi hingga 8.45 pagi.

Mereka didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi daripada 40 tahun.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Zamharir Muhammad Zuhid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Februari depan termasuk melantik jurubahasa.    

Baru-baru ini, media melaporkan seorang lelaki warga asing yang merupakan pekerja kebun durian ditemukan mati di sebuah pondok kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang di sinii.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mayat ditemukan dengan kesan kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA