fb fb fb fb fb

12 lelaki disyaki terlibat bakar mercun, halang lalu lintas ditahan

Foto: FB Polis Daerah Petaling Jaya

KUALA LUMPUR,  3 Februari- Polis menahan 12 lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian membakar mercun di atas jalan raya sambil menghalang lalu lintas di sekitar Kayu Ara, Petaling Jaya, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 68 tahun itu ditahan di Kampung Sungai Kayu Ara pada malam semalam.

Katanya, kesemua lelaki itu ditahan setelah polis mengesan video berdurasi 22 saat yang memaparkan kejadian itu.

Video tersebut turut memaparkan beberapa konvoi motosikal mengiringi sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire putih yang menggantung lambang berunsur ‘gangsterisme’.

“Hasil siasatan awal mendapati, hantaran tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun Media Hutan di Facebook pada 2 petang semalam. Kejadian dipercayai berlaku di Kayu Ara, Petaling Jaya pada tarikh dan masa yang belum dipastikan lagi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI