NEGERI SEMBILAN, 2 Februari- Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berhubung pakej umrah, tahun lalu.
Tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Berdasarkan pertuduhan, Muzzamil telah menipu seorang lelaki berusia 53 tahun dengan memperdayakannya menyerahkan wang tunai sebanyak RM115,030.
Perbuatan dilakukan tertuduh pada 23 hingga 30 Januari tahun lalu di sebuah syarikat di Nilai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan manakala tertuduh diwakili Peguam, Mohamed Musthafa.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport ke mahkamah.
Dalam pada itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah kerana memperdaya seorang wanita berusia 31 tahun untuk menyerahkan wang RM51,330 atas tujuan sama di sebuah syarikat berbeza.
Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 13 Januari hingga 23 Februari 2023.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Sebutan semula kedua-dua kes dan serahan dokumen ditetapkan masing-masing pada 11 dan 12 Mac depan.