KUALA LUMPUR, 30 Disember – Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kes ragut seorang pelancong Rusia di Jalan Sejahtera pada 12 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Mohamad Lazim Ismail berkata kedua-dua suspek diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di kawasan tempat letak motosikal Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong pada 19 Disember.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang wanita Rusia berusia lingkungan 50-an, dalam perjalanan ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku terlibat dalam kes ini. Suspek, yang baru dibebaskan dari Penjara Kajang, menggunakan hasil samun untuk melunaskan hutang," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini.
Suspek dikatakan telah menukar wang tunai AS$1,500 di sebuah pusat beli-belah di Cheras Selatan dan wang tunai 10 juta Rupiah di Plaza Idaman.
Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah motosikal, kunci, dan dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kedua-dua suspek akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok.