fb fb fb fb fb

Dua lelaki didakwa tipu guna nama MB Inc

IPOH, 26 Januari - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc) pada 2022 dan tahun lalu.

Tertuduh, Heidil Iskandar Mohd Shamlan, 33 tahun, dan Mohd Zulkifli Mohd Toha, 45 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa atas dua pertuduhan menipu Muhammad Razlan Abdullah, 65 tahun, dengan memperdayakan Razlan untuk mempercayai bahawa mereka dapat memberi satu projek perlombongan unsur nadi bumi (REE) di Hulu Perak menggunakan nama MB Inc.

Mereka dengan curangnya mendorong Razlan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM300,000 dan RM350,000 yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Sementara itu, Heidil Iskandar turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu See Chin Chee, 56 tahun, dengan memperdayakan See Chin untuk mendapatkan projek usahasama dengan MB Inc.

Ia bagi mengusahakan tanah berkeluasan 990 ekar (400 hektar) di dalam Mukim Pasir Panjang Ulu, Perak Tengah kepada Syarikat Jinsha Mineral Sdn Bhd.

Tertuduh dengan curangnya mendorong See Chin untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM250,000 dan RM100,000 yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Heidil Iskandar juga mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan menipu See Chin dengan memperdayakannya untuk mempercayai dia akan mendapatkan projek usahasama dengan MB Inc kepada Syarikat Agrostone (Malaysia) Sdn Bhd milik Wai Yap Lai, 51 tahun termasuk bagi mengusahakan tanah kuari batu granit berkeluasan 143 ekar (57 hektar) di Tanjung Malim.

Beberapa lagi projek usahasama ialah bagi mengusahakan tanah berkeluasan kira-kira 500 ekar (202 hektar) dan 660 ekar (267 hektar) di Hulu Perak serta mendapatkan tanah untuk disewa di kawasan Mukim Pengkalan Hulu dan mendorong beliau menyerahkan wang tunai berjumlah RM600,000.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 13 Mac sebagai tarikh sebutan semua kes itu bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Mohd Zulkifli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menipu Andy Anak Ungin, 43 tahun dengan berpura-pura sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat MB Inc di Bandar Meru Raya di sini pada 17 November lepas.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan ke atas Mohd Zulkifli sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

GRACE AISYAH KEDAYAN