MANJUNG, 8 Disember-Polis menahan dua individu bersama dadah bernilai RM60,000 di Ayer Tawar, Perak, tengah malam tadi.
Penahanan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas mengesan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 47 dan 17 tahun menemukan satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis Heroin seberat 450.9 gram dan lima paket plastik lutsinar berisi dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 103.5 gram.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut.
Pihak polis kemudian melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Pundut, Lumut, dan berjaya merampas dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 254.20 gram dan Heroin seberat 149.40 gram dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM60,357
Turut dirampas adalah sebuah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai RM200.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis MOP dan Methamphetamine.
Kedua-dua tahanan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a).