MANJUNG, 8 Disember- Kira-kira 70 individu ditahan dalam Operasi Pusat Hiburan yang dijalankan di sebuah premis di Taman Sentosa 2, Sitiawan, Perak awal pagi tadi.
Daripada jumlah tersebut, 54 individu positif dadah hasil pemeriksaan air kencing yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Manjung dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, menerusi operasi sekitar pukul 3.00 pagi itu,pihaknya juga telah berjaya menahan 15 lelaki termasuk dua warga Vietnam bersama rampasan pelbagai jenis dadah antaranya ganja, pil ekstasi, pil eramin 5 dan ketamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), dan Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952.
Susulan penahanan itu, Polis turut membuat serbuan ke atas sebuah premis di taman yang sama dan merampas satu beg silang mengandungi 31 paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dan satu keping aluminium foil mengandungi lima biji pil Eramin 5 dengan jumlah rampasan bernilai lebih RM91,000.
Kesemua tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Manjung dan permohonan reman telah dibenarkan selama tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.