MUAR, 25 Jun- Dua beranak ditahan bersama 6.38 kilogram (kg) serbuk ekstasi, bernilai lebih RM1 juta, menerusi serbuan di Bukit Treh, Muar, Johor pada Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, bapa dan anak itu, disyaki terlibat aktif dalam kegiatan memproses dan membungkus dadah ke dalam pek jus minuman, sejak Februari tahun ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 49 dan 23 tahun, turut didapati positif dadah Methamphetamine, hasil ujian saringan air kencing.
"Rumah tersebut disewa sejak dua tahun yang lalu dan diduduki oleh mereka sekeluarga. Mereka menggunakan salah satu bilik di dalam rumah tersebut untuk memproses jus dadah dan membancuh ekstasi ini ke dalam jus-jus seperti di hadapan tuan puan untuk dipasarkan bagi mereka yang ingin berhibur.
"Kita percaya mereka ingin berhibur dan akan menggunakan jus ini untuk mengkhayalkan diri", katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Suspek bapa mempunyai lima rekod jenayah narkotik dan baharu selesai menjalani hukuman penjara, manakala anaknya mempunyai tiga rekod lampau kesalahan sama.
Nilai rampasan dadah, peralatan sindiket dan kenderaan, dianggarkan bernilai RM1.08 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.