fb fb fb fb fb

Cubaan seludup rokok dan arak bernilai RM2.44 juta tumpas - JKDM Kelantan

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long

KOTA BHARU, 8 Julai- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan mengedar dan menyeludup pelbagai barangan termasuk rokok dan arak dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2.44 juta.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan rokok merekodkan rampasan terbesar iaitu sebanyak 3.23 juta batang membabitkan nilai termasuk cukai sebanyak RM2.38 juta.

Rampasan rokok dilakukan di Lebuhraya Timur-Barat dekat Jeli pada 2 Julai lalu, pukul 3.40 petang dengan kerjasama unit peronda polis.

Menerusi rampasan itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai dalam perjalanan membawa bekalan terbabit ke Perak.

Sebanyak 17 kes direkodkan dan seramai 15 individu termasuk tiga warga asing yang berusia 20 hingga 49 tahun ditangkap menerusi Operasi Darat yang dijalankan sekitar Gua Musang dan Jeli selama seminggu.

"Rampasan terbesar yang dihasilkan adalah rampasan membabitkan rokok seludup iaitu sebanyak 3,231,960 batang, bernilai RM229,918.00 dan duti cukai yang terlibat adalah berjumlah RM2,156,085.00."

"Maka, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,436,003.84 termasuk nilai sebuah lori yang dirampas. Nilai lori dianggarkan RM50,000," kata Wan Jamal kepada pemberita, hari ini.

Tambah Wan Jamal, hasil operasi itu juga pihaknya telah merampas 64.61 liter minuman keras dan pelbagai barangan lain seperti, mercun, beras dan lain-lain barangan seludup.

"Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barangan dagangan terbabit dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai dengan menggunakan samapn atau bot.""

"Manakala modus operandi bagi minuman keras pula ialah membeli dengan pengedar tempatan secara haram sebelum dijual secara runcit kepada penduduk tempatan atau warga asing," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, JKDM Kelantan kini sedang menyiapkan satu kertas kerja cadangan mewujudkan satu pejabat operasi  dan penguatkuasaan di Gua Musang.

Wan Jamal memaklumkan bahawa, ketika ini pihaknya berpusat di Kota Bharu dan perlu mengharungi perjalanan jauh sehingga tiga jam untuk melaksanakan operasi di sekitar Gua Musang.

Ujarnya, sekiranya satu pejabat operasi dan penguatkuasaan diwujudkan di Gua Musang, tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan efektif.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM