JOHOR BAHRU, 27 Januari - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor bersama-sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 120 kilogram (kg) gamat mentah ke dalam negara, di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, semalam.
Ketua Pengarah MAQIS Johor Edie Putra Md Yusof berkata, kesemua gamat tersebut dijumpai di bahagian belakang sebuah kereta dan dianggarkan bernilai RM12,000.
Pemeriksaan lanjut mendapati gamat mentah tersebut tidak mempunyai permit import MAQIS, selain dibawa masuk tanpa sebarang dokumen.
Pemandu dan kereta tersebut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11 ( 1 ) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Sabit kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.