KLANG, 22 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup enam jenis komoditi dengan nilai dan duti keseluruhan melebihi RM14.82 juta.
Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, komoditi terlibat ialah gelung keluli, lampu dan pembesar suara mudah alih, skrap logam, cerut dan tembakau, rokok putih dan bijih timah.
Jelas beliau, kesemua kes dikesan sejak Mei lalu
"240 guni bijih timah bernilai RM1.92 juta dirampas bersama dua lori 5 tan dan 7 tan di kilang di Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada 3 Julai.
Pemandu lori mengemukakan Borang Kastam 1 yang disyaki palsu dengan tarikh Ogos 2025," katanya pada sidang media di sini.
Kes bijih timah ini yang pertama dikesan di Selangor dan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(c) Akta Kastam 1967 berkaitan pemalsuan dokumen pengikraran.
Dalam pemeriksaan berasingan, 83 kontena skrap logam di Zon Bebas Pelabuhan Klang turut disita.
"Logam dianggarkan seberat 1.96 tan metrik dengan nilai RM9.17 juta, dipercayai diimport tanpa permit dari beberapa negara seperti Amerika, Eropah dan Asia," katanya lagi.
Selain itu, 62 gelung keluli seberat 221.7 tan bernilai RM1.28 juta turut dirampas pada 4 Jun lalu.
Dagangan tersebut dikenakan duti antilambakan 52.10 peratus.
JKDM Selangor juga merampas 48,130 unit lampu dan pembesar suara mudah alih dianggarkan bernilai RM1.04 juta, disita dari dua kontena di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat pada 4 dan 5 Jun.
Sebanyak 1,341 kilogram cerut dan tembakau bernilai RM546,920 turut dirampas selepas diikrarkan palsu sebagai barangan makanan.
Dalam kes berasingan, 1.08 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM855,360 termasuk cukai, dirampas dari tiga palet.
Kelima-lima kes lain disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu mengimport barangan larangan.