KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin mendakwa pernah didesak untuk mengaku membunuh anaknya ketika ditahan reman selama 13 hari pada Jun lalu.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata tekanan itu berlaku ketika siasatan dijalankan di sebuah banglo yang dikenali sebagai ‘safe house’ di sini, kira-kira enam bulan selepas kematian anaknya.
“Polis terbahagi kepada dua, ada yang suruh saya bertahan dan ada yang menekan saya,” katanya ketika pemeriksaan utama peguamnya, Haresh Mahadevan di Mahkamah Sesyen, di sini.
Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, yang merupakan kanak-kanak autistik.
Dia menegaskan tidak pernah mengabaikan anaknya dan hanya berpisah dengan Zayn ketika bekerja atau anak itu berada di sekolah.
Semalam Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira.
Sementara itu, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes pendakwaan terhadapnya.
Susulan itu, pihak pembelaan mengemukakan lima saksi pembelaan termasuk Ismanira dalam prosiding bela diri yang dijangka berlangsung empat hari bermula semalam.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan di anak sungai berhampiran rumah mereka di Damansara Damai, sehari selepas dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.