fb fb fb fb fb

Cubaan seludup dadah ke penjara guna dron gagal

FOTO FAIL

TAPAH, 10 Ogos - Polis Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke kawasan Penjara Tapah Road, di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, laporan dibuat oleh seorang sarjan penjara yang menemui sebuah dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman penjara itu kira-kira 11.30 pagi, pada Jumaat.

Hasil pemeriksaan dibuat pengadu menemui satu beg dobi yang digantung pada dron dan terdapat satu bungkusan plastik lut sinar di dalamnya.

"Tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketul kristal disyaki methamphetamine seberat 12.9 gram ditemui," kata Azizi menerusi satu kenyataan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Jelas Azizi, berdasarkan siasatan awal mendapati modus operandi sebegini merupakan kes pertama yang diterima.

Pihaknya memandang serius kes-kes melibatkan penyeludupan dadah terutama membabitkan penjara dan siasatan menyeluruh akan dijalankan.

TETITIA YUSOFF