fb fb fb fb fb

Cubaan seludup 24 tan ayam sejuk beku gagal, seorang lelaki ditahan

Bot yang digunakan untuk menyeludup 24 tan ayam sejuk beku ke Malaysia

JOHOR BAHRU, 1 Disember -Cubaan menyeludup masuk 24 tan ayam sejuk beku ke negara ini gagal susulan penahanan sebuah bot gentian kaca mencurigakan di jeti persendirian Teluk Kabung, Pasir Gudang.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, operasi pada pukul 2.45 petang Jumaat lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 59 tahun.

"Pemeriksaan menemukan 2,071 kotak ayam sejuk beku, setiap satu seberat kira-kira 12 kilogram, dipercayai cuba dibawa masuk tanpa kelulusan bagi mengelakkan kawal selia pihak berkuasa.

Sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kotak ayam berkenaan turut dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM600,000," katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Operasi melibatkan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

FARIS IZZAT SHAHARUDIN