GERIK, 20 September- Satu cubaan untuk menyeludup masuk 100 ekor kambing jenis Boer dari Thailand berjaya digagalkan dalam Op Bersepadu Khazanah.
Operasi dijalankan melibatkan Cawangan Risik Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Veterinar Taiping dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Gerik.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Shahrum Hashim dalam kenyataan memaklumkan operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan awal, mengenai kegiatan itu yang semakin berleluasa sejak tiga bulan lalu.
"Operasi dijalankan dari pukul 4.30 petang hingga pukul 5.00 pagi semalam, pihak berkuasa berjaya menahan sebuah lori yang membawa muatan 100 ekor kambing jenis Boer dipercayai diseludup dari Thailand, tanpa dokumen sah dan dalam perjalanan ke utara untuk dihantar ke sebuah kandang sebelum dipasarkan kepada individu terlibat," kata kenyataan itu.
Dua lelaki tempatan berumur 28 dan 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM260,000.
Kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000 atau hukuman lain menurut undang-undang.
Semua tangkapan dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Cawangan Taiping untuk tindakan lanjut.