TAIPING, 3 September- Mahkamah Seksyen di sini, hari ini mengarahkan seorang penoreh getah yang didakwa menyerang seorang warga emas menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan parah untuk menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Nabisha Ibrahim mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni supaya tertuduh, Muhammad Suhardi Din, 54, menjalani pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, mengikut pengawai penyiasat, tertuduh berada dalam pengaruh dadah dan status kesihatan mental didapati kurang sihat.
Tertuduh sebelum itu mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Omar Besar, 68, menggunakan sebilah parang yang digunakan senjata untuk menyerang dan mungkin boleh menyebabkan kematian.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Seri Tasik Ganda Temenggor, Gerik pada jam 3.20 petang, 27 Ogos lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia tinggal bersendirian dan tidak pernah mendapatkan rawatan mental sebelum ini.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, Ipoh dan menetapkan 1 Oktober depan sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Kuala Kangsar.
Sebelum ini media melaporkan, seorang warga emas mengalami patah tulang lengan kiri selepas ditetak seorang lelaki dikenali dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Seri Tasik Ganda Temenggor, Gerik, petang 27 Ogos lalu.