fb fb fb fb fb

Lelaki didakwa miliki senjata api tiruan, peluru dan pedang

Tan Ying Hao, 52 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan melibatkan pemilikan senjata api tiruan, peluru dan pedang tanpa kebenaran / Foto RTM

KANGAR, 3 September - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan melibatkan pemilikan senjata api tiruan, peluru dan pedang tanpa kebenaran.

Tertuduh, Tan Ying Hao, 52 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Tan didakwa memiliki komponen senjata api jenis AR-15 dan M-16 tanpa lesen atau permit sah, mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga melibatkan pemilikan 32 butir peluru tanpa lesen atau permit senjata sah, Tan turut didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dengan hukuman sama seperti pertuduhan pertama dan kedua.

Dalam pertuduhan keempat, Tan dituduh memiliki dua bilah pedang tanpa kebenaran, di mana beliau didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun.

Pertuduhan kelima pula melibatkan pemilikan senjata tiruan berupa sepucuk pistol, yang didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam, Widyaevasari Mohd Kanifiah.

Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying memohon agar mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan tertuduh turut mempunyai kes lain yang sedang berjalan.

Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN