fb fb fb fb fb

46 PATI dihantar pulang ke negara asal, turut disenarai hitam

46 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Thailand dihantar pulang ke negara asal mereka, pada Isnin selepas ditahan di Depot Imigresen Langkap / Foto RTM

IPOH, 3 September - Seramai 46 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Thailand dihantar pulang ke negara asal mereka, pada Isnin selepas ditahan di Depot Imigresen Langkap.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata kesemua PATI berusia antara 1 hingga 51 tahun itu terdiri daripada 20 lelaki, 22 perempuan dan dua kanak-kanak.

"Penghantaran pulang kesemua mereka dilakukan melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu.

"Kesemua PATI dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang membawa kepada keputusan untuk memindahkan mereka ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama," katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, Meor Hezbullah berkata kesemua yang dihantar pulang itu juga telah disenarai hitam bagi mengekang kemasukan semula ke negara ini di masa akan datang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN