fb fb fb fb fb

Buruh ladang warga Indonesia didakwa bunuh majikan

AYER KEROH, 10 Januari - Seorang buruh ladang warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas dakwaan membunuh majikannya di sebuah ladang kelapa sawit di Paya Rumput Jaya, bulan lalu.

Tertuduh Rudiansyah, 25 tahun, mengangguk faham ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa Indonesia di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Nordin Ong Abdullah, 71, di rumah kebun, ladang kelapa sawit, Lorong Sidang Hj Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang.

Dia melakukan kesalahan itu antara 22 hingga 27 Disember lalu kira-kira 10.30 pagi hingga 1.20 pagi.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar.

Rudiansyah di dakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum sebatan tidak kurang 12 kali sebatan.

Majistret kemudian menetapkan tarikh bagi sebutan semula, pengurusan kes, penyerahan laporan kimia dan bedah siasat pada 19 Februari depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN