GUA MUSANG, 1 Februari - Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan topi keledar, 25 Januari lalu.
Hakim, Tengku Shahrizam Tuan Lah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Shamsuri Rokman Yusuf, 35 tahun selepas mengaku bersalah
atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 28 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Siti Norhashikin Che Mat, 35 menggunakan topi keledar di bahagian kepala.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan kedai makan di Paloh 2 di sini, 5 petang, 25 Januari 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dalam akta yang sama.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan kerana perlu berkerja dan menjaga ibu serta lima anaknya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.