fb fb fb fb fb

Buli siber pempengaruh Esha: Dua didakwa

Pemandu lori B.Sathiskumar, 40, yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh media sosial A. Rajeswary atau lebih dikenali Esha dihadapkan ke mahkamah hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Seorang pemandu lori dan seorang pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh media sosial A. Rajeswary atau dikenali sebagai Esha dihadapkan ke mahkamah, di sini hari ini.

Di Mahkamah Sesyen, pemandu lori B.Sathiskumar, 40, mengaku bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi TikTok menggunakan nama profil “@dulal_brothers_360” pada 10.12 malam, 30 Jun lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca pada 30 Jun lepas, 10.15 malam di Jalan Ipoh, Sentul di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengaibkan dan mengganggu kesantunan ibu kepada Esha iaitu P.R. Puspa, 56, menerusi aplikasi TikTok dengan menggunakan nama profil sama pada tarikh, masa dan tempat serupa, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

“Kes ini menarik perhatian orang awam dengan kejadian daripada tertuduh membuat tindakan melalui TikTok atau media massa. Berikutan kejadian buli siber ini memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan emosi mangsa termasuk kemurungan.

“Dalam kes ini seorang mangsa telah ditemukan meninggal dunia selepas sahaja penghantaran komunikasi lucah dilakukan oleh tertuduh dan ini telah menarik perhatian umum,” katanya.

Sathiskumar yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia berpendapatan RM1,000 sebulan serta mempunyai isteri Orang Kurang Upaya dan tiga anak.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan Sathiskumar diikat jamin berjumlah RM36,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan kes, berikutan tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah dia memerlukan peguam untuk prosiding seterusnya.

Bernama sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai lepas, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Sementara itu dalam kes sama, seorang pemilik rumah kebajikan P. Shalini, 35, dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok alphaquinnsha dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lorong Kolam Air 8, Jalan Ipoh di sini pada 4.10 pagi, 1 Julai lepas, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Majistret M.S Arunjothy turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tujuh hari, jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu orang awam menemukan akaun TikTok alphaquinnsha atas nama tertuduh telah memfitnah mangsa dan membuat beberapa ugutan untuk mencederakannya.

Shalini juga membuat siaran langsung di TikTok dan membuat ugutan serta ancaman kepada individu yang menentangnya. Berikutan itu, laporan polis dibuat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh. - BERNAMA

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN