KUALA LUMPUR, 9 Disember- Pihak polis berjaya menahan seorang wanita warganegara asing berumur 31 tahun di perkarangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di ibu negara kerana terlibat dalam kes kacau ganggu di perkarangan masjid tersebut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, satu laporan polis diterima berkenaan gangguan tersebut dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang semalam.
"Sejurus menerima laporan polis tersebut, pihak polis telah berjaya menahan individu tersebut kira-kra pukul 4.30 petang," katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Individu tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Disember 2023 bagi tujuan siasatan lanjut.
Bagaimanapun pihak polis, "menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang."
Tindakan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang terlibat.