fb fb fb fb fb

Bot nelayan langgar syarat, empat ditahan

Foto: FB Pejabat Perikanan Negeri Kedah

LANGKAWI, 29 Mei- Sebuah bot pukat tunda disita kerana menceroboh zon larangan penangkapan ikan pada kedudukan 4.6 batu nautika dari Pulau Rebak Besar,di sini.
 
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Pang Anak Nyukang berkata, empat nelayan warga tempatan yang menaiki bot itu ditahan pada pukul 1 pagi.
 
"Hasil pemeriksaan, bot berkenaan didapati menangkap ikan di luar dari kawasan yang dibenarkan. Bot dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM200,000 disita," katanya.
 
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat yang ditetapkan dalam syarat lesen yang hanya membenarkan bot tersebut menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan 8 batu nautika dan ke atas daripada daratan atau pulau terdekat.
 
Menurutnya, kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
 
Pang turut mengingatkan para nelayan agar mematuhi peraturan zon menangkap ikan yang dibenarkan.
 
Ujarnya, kegiatan pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan berdekatan pesisir pantai atau pulau akan menyebabkan tekanan kepada sumber perikanan sedia ada.

ZEHRA BINTI ZAMBRI