KUALA LUMPUR, 28 Mei- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menyekat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pegawai Penyiasat SPRM, Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin, berkata bekas Perdana Menteri ke-6 itu telah mengarahkan beberapa tindakan yang didakwa dilakukan untuk menyekat siasatan tersebut termasuk menutup kes berhubung 1MDB.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib semasa perbicaraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung penyelewengan dana 1MDB.
Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, perkara itu hanyalah andaian Nur Aida semata-mata kerana saksi berkenaan tidak memiliki bukti atau keterangan langsung yang membuktikan arahan tersebut adalah daripada Datuk Seri Najib.
Hakim perbicaraan, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata memandangkan saksi tetap dengan pendiriannya, Tan Sri Muhammad Shafee boleh membangkitkan perkara itu dalam hujahannya nanti.
Perbicaraan akan bersambung esok.
Datuk Seri Najib Tun Razak, 70 tahun , berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.