KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Seorang bekas kakitangan syarikat cari gali kerugian sebanyak RM892,000 selepas menjadi mangsa sindiket phone scam yang menyamar sebagai wakil syarikat e-dagang dan pegawai polis.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, berkata kejadian berlaku selepas mangsa berusia 56 tahun dihubungi pada 31 Disember tahun lalu oleh individu mendakwa dari Shopee dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah, dan bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Akibat panik, mangsa telah melakukan 10 transaksi ke tujuh akaun berbeza antara 7 Januari hingga 10 Februari, menggunakan simpanan persaraan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Mangsa diarahkan sindiket untuk dedahkan maklumat perbankan dan melakukan transaksi tanpa menyedari wang sejumlah RM892,000 dipindahkan ke akaun tidak dikenali. Kejadian bukan baru, ia bermula sejak hujung tahun lepas dan hanya baru-baru ini laporan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini.
Datuk Mohd Khairi turut mendedahkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025, sebanyak 940 kes penipuan direkodkan di Terengganu dengan jumlah kerugian mencecah RM17.9 juta.
Daripada jumlah itu, kerugian tertinggi melibatkan penipuan phone scam yang mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM7.6 juta, diikuti skim pelaburan tidak wujud sebanyak RM5.4 juta.
Sementara itu, penipuan pembelian dalam talian mencatat kerugian sebanyak RM1.94 juta, manakala parcel scam pula menyebabkan kerugian sebanyak RM1.57 juta.
Selain itu, turut direkodkan kes melibatkan love scam, pinjaman tidak wujud, jenayah siber dan ah long.
Orang ramai diingatkan agar berwaspada terhadap taktik penipuan siber, yang kini menyasarkan mangsa tanpa mengira usia atau latar belakang.