fb fb fb fb fb

Pengurus pertubuhan direman, disyaki tuntut bayaran palsu baiki lori

Foto SPRM Kedah

ALOR SETAR, 22 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman seorang pengurus sebuah pertubuhan di negeri itu kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan bayaran membaiki dan menyelenggara sebuah lori berjumlah kira-kira RM1,200.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 Julai dikeluarkan oleh Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dikemukakan pihak SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

2207 KDH SPRM TAHAN PENGURUS 2Foto SPRM Kedah

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar April 2024, apabila mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kepada pertubuhan terbabit bagi kerja membaiki dan menyelenggara lori milik pertubuhan tersebut, sedangkan kerja itu tidak pernah dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN