KUALA LUMPUR, 15 Februari- Bekas pengarah syarikat beras mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di ibu negara hari ini atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM9 juta.
Tuntutan palsu itu dibuat kepada sebuah bank bagi urusan pembiayaan pembelian beras lima tahun lalu.
Tertuduh Fikri Abu Bakar, Pengarah Fikri Rice Sdn. Bhd. mengemukakan 28 invois palsu kepada Trade Working Capital Financing Islamic (TWCF-i) bagi urusan pembiayaan pembelian beras kepada ejen Agrobank Berhad.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Wisma Maran antara 18 November 2019 hingga 16 Januari 2020.
Dalam prosiding sama, tertuduh juga didakwa dan mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan pilihan yang mendakwa tertuduh menyedari penggunaan kesemua invois palsu tersebut ketika ia diserahkan pada tempat dan tarikh yang sama.
Kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd Zamry atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan merupakan pesakit diabetes.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan.