KUALA LUMPUR, 15 Februari- Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan penangguhan prosiding tiga tuduhan kes pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Permohonan pihak pendakwaan dibenarkan sementara menunggu rayuan terhadap pembebasan beliau daripada empat pertuduhan rasuah berkaitan projek Jana Wibawa.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan tersebut dan menggantung sepenuhnya prosiding di Mahkamah Sesyen sehingga pelupusan kes rayuan terbabit.
Penggantungan itu wajar demi keadilan semua pihak bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap prosiding di Mahkamah Sesyen di ibu negara.
Pada Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk sejumlah suapan bagi parti BERSATU antara tahun 2020 hingga 2022.
Namun, Mahkamah Tinggi kemudiannya membebaskan beliau daripada empat pertuduhan tersebut selepas permohonan membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan dibenarkan.
Pendengaran rayuan ditetapkan pada 28 dan 29 Februari ini selepas pihak pendakwaan memfailkan notis di Mahkamah Rayuan.
Beliau kemudian memohon supaya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada baki tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram kepada Mahkamah Sesyen.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan bagi mengetahui perkembangan berhubung keputusan rayuan pada 4 Mac depan.