KUALA LUMPUR, 20 Disember- Seorang bekas jurukimpal dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh pada Mei lepas.
Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fesool Haron, 35, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 30 Mei lepas.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fesool didakwa memiliki satu rakaman video, 10 video dan lima tangkap layar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, yang ditemukan dalam telefon bimbitnya di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kempas, Johor Bahru pada 1.10 tengah hari, 30 Mei.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda, serta pelucuthakan bahan tersebut, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhurrazi Ahmad Salim memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan itu boleh menggugat keselamatan negara dan orang awam.
“Sebelum ini, tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan keganasan iaitu memberi sokongan. Tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mei 2017.
“Oleh itu, pendakwaan memohon hukuman berat terhadap tertuduh supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat agar tidak terlibat dengan kesalahan ini,” katanya.
Peguam N. Kanmani merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
“Anak guam saya mempunyai dua anak masing-masing berusia 17 dan 11 tahun yang kini dijaga oleh ahli keluarganya selepas isteri tertuduh juga ditangkap atas kesalahan sama,” kata peguam itu. - BERNAMA