JOHOR BAHRU, 19 Disember – Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas tukang masak, Calvin Phua Kim, 27, daripada tuduhan membunuh seorang lelaki berusia 24 tahun di hadapan sebuah kondominium enam tahun lalu.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa kematian mangsa, John Liew Yuan, berpunca daripada kecederaan yang dilakukan oleh tertuduh.
Dalam penghakimannya, Datuk Abu Bakar menyatakan keterangan dua saksi pendakwaan tidak secara positif mengesahkan bahawa tertuduh melakukan tikaman ke atas mangsa.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali mengemukakan 13 saksi sepanjang prosiding perbicaraan sejak 2022, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail.
Calvin sebelum ini didakwa membunuh John di hadapan pos pengawal sebuah kondominium di Jalan Masai Jaya, Plentong, Johor Bahru, pada pukul 2.30 pagi, 3 Jun 2018.
Tuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.