fb fb fb fb fb

Bekas CEO didenda RM15,000, salah guna kuasa lantik anak dalam syarikat

Foto: BERNAMA

MELAKA, 12 Julai- Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah anak syarikat kerajaan negeri Melaka didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menggunakan jawatan melantik anak perempuannya ke dalam syarikat terbabit pada 2021.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap, Amir Ali, 57, yang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikemukakan pendakwaan hari ini.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati membuat urusan bayaran gaji RM13,750 yang diterima anaknya, Nur Hafizah yang dilantik olehnya sebagai Pegawai Kewangan W41 di Syarikat Halal Hub Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Syarikat Melaka Halal Hub Sdn Bhd, Lot 125, Bangunan Anchor, Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Jasin pada 1 April 2021.

Amir didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26 akta sama serta boleh dihukum di bawah akta berkenaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Selepas menimbangkan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mengenakan hukuman denda RM15,000 atau penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI