KUALA LUMPUR 12 Julai- Polis menahan seramai 18 individu termasuk seorang wanita warga asing dua hari lalu kerana disyaki terlibat kegiatan penipuan dalam talian berkaitan forex yang menyasarkan mangsa dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail berkata mereka yang ditahan terdiri 16 lelaki serta dua wanita masing-masing seorang rakyat tempatan dan warga asing di dua unit kondominium di sekitar Jalan Ampang pada 6 petang Rabu.
Beliau berkata dalam serbuan itu juga pihaknya merampas 62 jenis peralatan antaranya 18 set komputer dan 43 unit telefon bimbit.
“Modus operandi pelaburan ini tidak wujud dan menyasarkan warga Korea Selatan dan AS untuk melabur dalam pelaburan tidak wujud (forex).
“Mereka akan menjemput para pelabur untuk melabur menggunakan platform ’Poly X’ yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 1.5 peratus. Namun, selepas melabur mereka dipercayai tidak mendapat pulangan dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Lazim berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas dan menerima bayaran sebanyak RM3,000 sebulan.
“Suspek direman sehari (semalam). Nilai keuntungan yang diperoleh dan pemilikan premis masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.