BUKIT KAYU HITAM, 12 Julai- Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam berjaya mematahkan cubaan menyeleweng minyak diesel hasil operasi di sebuah gudang yang terletak di kawasan perindustrian di sini.
Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin dalam satu kenyataan berkata, operasi dilakukan pada pukul 6.00 pagi telah menemui sebuah motolori trailer tanpa muatan berpendaftaran Thailand sedang membuat pengisian minyak diesel pada tangki kenderaan tersebut.
Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut merupakan pemegang lesen borong barang kawalan yang disyaki telah menjual barang kawalan bukan kepada pihak yang diberi kebenaran untuk membeli barang kawalan tersebut.
Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat tangki tambahan telah diubahsuai untuk menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel.
"Sehubungan itu, pasukan serbuan telah menyita sejumlah 1,688 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM5,654.80 beserta motolori trailer berpendaftaran Thailand tersebut. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM105,654.80," katanya.
Seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Thailand berumur lingkungan 20-an disyaki terlibat dengan aktiviti penyelewangan tersebut telah dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra dan telah menerima perintah reman selama empat hari bagi tujuan siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan mana-mana individu jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi individu perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
Bagaimanapun KPDN telah memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan.
Kementerian juga tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.