fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan bot nelayan di perairan Sekinchan, langgar syarat sah lesen

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C pada Khamis disyaki melanggar syarat sah lesen

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C pada Khamis disyaki melanggar syarat sah lesen.

Turut ditahan, seorang tekong warga tempatan bersama empat kru warga asing berusia antara 26 hingga 36 tahun.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan dibuat pada pukul 11.10 malam menerusi Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris di kedudukan 9.8 batu nautika perairan Sekinchan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua kru terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah selain tiada surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan.

"Bot dan kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN