fb fb fb fb fb

SPRM tahan tiga penguatkuasa gugurkan kes penipuan

SPRM Kuala Lumpur menahan seorang pegawai dan dua anggota penguat kuasa disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menggugurkan satu kes penipuan / Foto SPRM

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang pegawai dan dua anggota penguat kuasa disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menggugurkan satu kes penipuan.

Menurut sumber, lanjutan itu, ketiga-tiga mereka telah direman setelah Majistret, Learani Augustine membenarkan pegawai penguat kuasa lelaki, 30-an, berkenaan direman selama tiga hari sehingga 14 Julai ini.

Sementara seorang anggota penguat kuasa wanita, 20-an pula direman selama dua hari sehingga 13 Julai 2024 selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Manakala pada Khamis, Majistret Irza Zulaikha Rahanuddin telah mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 15 Julai depan terhadap seorang anggota penguat kuasa lelaki, 30-an selepas permohonan di buat di Mahkamah Majistret Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati pengadu telah berjumpa dengan pegawai penguat kuasa berkenaan bagi melepaskan isterinya yang ditahan pada 8 Julai lalu kerana disyaki terbabit satu kes penipuan.

“Bagaimanapun pegawai berkenaan telah meminta pengadu untuk berurusan dengan seorang anggota penguat kuasa yang bertindak sebagai orang tengah bagi tujuan berkenaan di mana dia telah diminta untuk memberikan wang rasuah kira-kira RM20,000 melalui anggota tersebut,” katanya.

Sumber berkata, susulan itu pengadu telah menyerahkan wang pendahuluan sebanyak kira-kira RM20,000 dalam dua kali transaksi kepada seorang anggota penguat kuasa berkenaan yang dipercayai akan dikongsikan dengan pegawai serta seorang lagi anggota penguat kuasa.

Ketiga-tiga mereka ditahan dalam operasi dijalankan kira-kira pukul 6 petang pada Rabu hingga pukul 1200 malam Khamis di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN