JOHOR BAHRU, 18 Disember - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiayai seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang diasuhnya pada Julai lalu.
Mosinah Sapari, 48 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi tersebut, didakwa menganiayai dengan cara mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Mosinah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Tawakal Kampung Melayu,Kangkar Pulai, pukul 7.30 pagi sehingga 12.44 tengah hari, pada 17 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili Peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula kes pada 15 Januari tahun hadapan.