fb fb fb fb fb

Anggota polis ditemukan maut di tandas hentian R&R

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 14 Jun- Seorang anggota polis ditemukan tidak bernyawa di sebuah tandas hentian rehat dan rawat (R&R) lebuh raya di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Penguasa Polis Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 5.45 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki berumur 25 tahun itu telah berkahwin, dan ditemukan mati di tiang besi atas penghadang di dalam tandas tersebut.

"Mangsa merupakan seorang anggota polis yang bertugas di kontinjen Kuala Lumpur.

"Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan membantu siasatan di tempat kejadian dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis dan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

SITI AISHAH MD ISA