fb fb fb fb fb

Ancaman bom panggilan palsu dipercayai dilakukan warga asing – Ketua Polis Johor

(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)

JOHOR BAHRU, 15 Oktober- Polis Johor mengesahkan ancaman bom di sebuah pusat membeli-belah terkenal di Johor Bahru petang semalam adalah panggilan palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pengurusan pusat beli belah itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai warganegara asing yang menyatakan telah meletakkan bom di sekitar kawasan itu dan hotel.

Bertindak atas maklumat itu, beliau berkata pada pukul 6.15 petang, seramai 92 orang pegawai kanan polis dan anggota termasuk dua Unit Anjing Pengesan K9 telah diatur gerak ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, selain itu seramai tiga pegawai dan 20 anggota bomba turut hadir di tempat kejadian.

(Pengunjung dan kakitangan pusat membeli belah Mid Valley Southkey Johor Bahru berkumpul di
kawasan parkir terbuka selepas diarahkan mengosongkan bangunan berkenaan semalam/ BERNAMA)

“Sehingga jam 11.30 malam, keseluruhan kawasan bangunan pusat membeli-belah dan hotel telah diperiksa oleh Unit Pemusnah Bom dan anjing pengesan K9 dan tiada terkesan sebarang objek yang mencurigakan serta kawasan selamat beroperasi seperti sediakala.

“Pihak polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk menjalankan pemerhatian lanjut dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan jika bersabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihat agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan menganggu gugat ketenteraman awam.

Media Baharu