BUTTERWORTH, 16 Oktober- Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan memiliki bom buatan sendiri (IED) tanpa kebenaran sah pada 8 Oktober lalu.
Tertuduh, Bonny ak Tigong, berusia 32 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit flat Taman Pandan, Mak Mandin pada pukul 7.35 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957; jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan berikutnya, Bonny turut mengaku tidak bersalah kerana memiliki pistol tiruan yang didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang di bawah flat sama.
Di mahkamah Sesyen pula, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah kerambit bersama sarung yang didakwa dilakukan di tempat dan masa sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Amira Shahidani dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 November depan untuk serahan dokuman dan bagi tertuduh melantik peguam.