fb fb fb fb fb

Amang seksual terhadap remaja OKU 14 tahun, suami isteri dipenjara lima tahun

Kedua-dua tertuduh diiringi polis ketika meninggalkan mahkamah / BERNAMA

KLANG, 15 Januari- Sepasang suami isteri masing-masing dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) pada November dan Disember tahun lepas.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Hizwan Kamarudin, 33, dan Norehan Abu Kasim, 36, yang mengekalkan pengakuan bersalah pada 8 Disember lepas terhadap tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh anggota badan mangsa yang berusia 14 tahun.

Pasangan terbabit juga dihukum penjara dua tahun bagi pertuduhan amang seksual bukan fizikal kerana menyebabkan mangsa memerhati perbuatan kedua-dua tertuduh yang bersifat seksual, selain Khairul Hizwan turut dihukum penjara setahun kerana menyimpan video lucah.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 1 Disember tahun lepas, selain menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Khairul Hizwan turut mengaku menyimpan beberapa video lucah di dalam telefon bimbitnya dan didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Pasangan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat pada 12 November dan 1 Disember 2023.

Mengikut fakta kes, pasangan suami isteri terbabit telah menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa agar datang ke rumah mereka untuk melipat baju.

Mangsa yang hadir kemudiannya telah diarahkan melipat baju di dalam bilik sebelum berlakunya perlakuan amang seksual itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE