fb fb fb fb fb

JSJN Perlis rampas dadah syabu bernilai RM19 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata demikian dalam sidang media, hari ini

KANGAR, 15 Januari- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis mencatatkan rampasan syabu terbesar permulaan tahun ini apabila merampas 528 kilogram dadah tersebut yang dianggarkan bernilai RM19 juta.

Rampasan dibuat pada 10 Januari lalu, hasil penahanan dan soal siasat ke atas seorang suspek berusia 35 tahun yang mendedahkan lokasi dadah berkenaan di kawasan Hutan Simpan Persekutuan, Mata Ayer.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, kesemua dadah berkenaan dimuatkan dalam 20 guni yang berjahit dan dimasukkan dalam 480 bungkusan plastik teh cina yang diletakkan di dalam troli besi.

Susulan dari tangkapan dan rampasan tersebut, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun turut ditahan berkaitan kes yang sama.

JSJN Perlis turut merampas aset yang digunakan suspek yang dianggarkan bernilai lebih RM515,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

"Modus operandi yang digunakan suspek-suspek ini dipercayai, dengan menggunakan lorong-lorong tikus di kawasan hutan simpan Persekutuan di daerah Padang Besar dan aktif menjalankan kegiatan ini pada tahun 2023."

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 10 dan 11 Januari 2024 bagi membantu siasatan. Hasil saringan awal mendapati kedua suspek positif dadah Ketamine dan Methamphetamine," kata Mohd Kamarudin kepada pemberita dalam Sidang Media Khas kejayaan JSJN Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

Semakan rekod jenayah mendapati suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah dan JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM