SUNGAI PETANI, 1 Oktober - Seorang pekerja kilang 'mengumpan' seorang kanak-kanak lelaki dengan pemberian sebuah basikal secara percuma bagi memerangkap mangsa dan melakukan perbuatan amang seksual terhadapnya.
Suspek direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan mendedahkan, ketika kejadian, mangsa berusia 12 tahun bersama tiga rakannya berada di kawasan Bukit Bintang Ramlee di sini, sebelum didatangi suspek, yang tidak dikenalinya.
Suspek berumur 46 tahun kemudian memberitahu mahu memberikan basikal secara percuma kepada mangsa, sebelum membawanya ke sebuah rumah di Taman Sri Astana.
Mereka kemudian kembali semula ke Bukit Bintang Ramlee dengan mangsa memperoleh sebuah basikal yang dijanjikan.
Suspek sekali lagi mengajak mangsa mengambil sebuah lagi basikal, bagaimanapun, mangsa dibawa ke kawasan hutan di Kampung Serukam dan kanak-kanak itu dipaksa memegang alat sulit suspek.
Bertindak atas aduan, suspek berjaya diberkas di suatu lokasi di Sungai Petani, malam semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.