fb fb fb fb fb

AKPS gagalkan cubaan seludup 10,000 liter diesel di Bukit Kayu Hitam

Foto AKPS

BUKIT KAYU HITAM, 2 November – Taktik licik seorang pemandu lori warga Thailand yang cuba menyeludup minyak diesel ke negara jiran dengan menggunakan lori kargo rigid am yang diubah suai gagal apabila dikesan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata lori berkenaan ditahan di Blok A, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 10.45 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu menemukan sebanyak 10,000 liter minyak diesel bernilai kira-kira RM30,000 yang disimpan di dalam tangki bahagian bawah lori yang telah diubah suai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

0211 KDH AKPS SELUDUP DIESEL TUMPAS 2.jpgFoto AKPS

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1960 (Akta 122) dan Seksyen 21(1) kerana mengendalikan barang kawalan tanpa kebenaran.

“Minyak diesel merupakan barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan mana-mana pihak yang mengangkut atau menyeludup diesel tanpa kebenaran dianggap melakukan kesalahan di bawah undang-undang tersebut,” jelasnya.

Menurut beliau, minyak diesel terbabit telah dirampas manakala lori kargo bernilai kira-kira RM110,000 turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

Kes tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah untuk tindakan selanjutnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN