JOHOR BAHRU, 31 Januari- Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM246, 400 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.
Tertuduh, S Anbhukanesan, 35 tahun membuat pengakuan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Pemilik kepada tiga syarikat membekal tenaga kerja itu, didakwa memberi Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama ketiga-tiga syarikat berkenaan.
Ia bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 PERKESO.
Semua tuntutan dipercayai mengandungi dokumen palsu, dengan niat memperdayakan PERKESO, antara 13 Mei hingga 24 Disember 2021.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor, sekali setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Februari ini.
(FOTO FAIL)