fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan didakwa tipu urusan tanah pajakan

Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat untuk proses mendapatkan tanah pajakan pertanian / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat sebanyak RM350,000 untuk proses mendapatkan tanah pajakan pertanian milik Kerajaan Negeri Sembilan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Faizal Ismal, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Dia didakwa menipu Beng Wee dengan memindahkan RM345,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh dan menerima RM5,000 secara tunai bagi urusan mendapatkan tanah pajakan pertanian di Tampin.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Jalan Cheras pada 24 November 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tertuduh tidak dibenarkan keluar negara.

Mahkamah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN