fb fb fb fb fb

Adik Zayn Rayyan kini bawah jagaan nenek saudara

FOTO FB Zahari Mohd Reba

PUTRAJAYA, 9 Ogos- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau perkembangan dan keadaan adik kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini di bawah jagaan nenek saudaranya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan dilaksanakan JKM adalah selaras peruntukan undang-undang serta tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"JKM akan terus memantau perkembangan dan keadaan kanak-kanak terbabit selama tempoh interim dua bulan ini dengan kerjasama Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) (iaitu nenek saudaranya) yang telah diamanahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nancy, semua prosedur yang dijalankan adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu semata-semata.

Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada nenek saudaranya, selama dua bulan bermula hari ini.

JKM sebelum ini memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap kanak-kanak itu yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

JKM mengemukakan permohonan perintah jagaan terhadap adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan berikutan ibu dan bapa mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada 13 Jun atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

SITI AISHAH MD ISA