fb fb fb fb fb

975,000 kotak rokok pelbagai jenama dilupus

Romli (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dilupuskan di Loji Rawatan Termal (insinerator), Kampung Belanga Pechah, Langkawi hari ini/FOTO RTM

LANGKAWI, 26 Mac - Sebanyak 975,000 kotak rokok seludup pelbagai jenama serta 39 guni tembakau dengan nilai keseluruhan lebih RM15 juta berjaya dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, hari ini.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua rokok tidak bercukai dan tembakau ini adalah hasil tangkapan dan rampasan pada Januari tahun 2022 mengikut Seksyen 49(1) dan 135 (1) Akta Kastam 1976.

"Sisa pelupusan hasil dari proses itu akan diuruskan oleh pihak pengurusan insinerator iaitu syarikat Drizzle Engineering dan disaksikan pegawai penyaksi pelupusan.

"Pelupusan kesemua rokok dilakukan melalui kaedah selamat dengan pembakaran insinerator yang diuruskan oleh syarikat Drizzle Engineering.

"Pelupusan dilakukan selepas rokok dan tembakau bernilai lebih RM15 juta itu sudah dilucutkan hak oleh mahkamah.

“Barangan tersebut dilupuskan selepas mahkamah melucut hak bahan itu bagi mengelakkan ia diguna semula (kitar semula),” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Proses pelupusan dilaksanakan Loji Rawatan Termal (insinerator), Kampung Belanga Pechah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohammad Nasir Man.

Romli dalam pada itu memaklumkan, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan membabitkan kemasukan rokok-rokok haram melalui rondaan dan operasi secara berterusan memandangkan kawasan perairan negeri ini berhampiran dengan negara jiran.

Malah ujar beliau, atas faktor tersebut, permintaan terhadap rokok seludup atau rokok tidak bercukai tinggi berikutan harga yang sangat rendah dari pasaran.

GRACE AISYAH KEDAYAN