fb fb fb fb fb

60 warga asing, tiga pengurus tempatan ditahan dalam tiga operasi berasingan

Foto Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor

JOHOR BAHRU, 2 Oktober – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 60 pendatang tanpa izin dan tiga pengurus warga tempatan dalam Op Mahir, Op Selera dan Op Kutip di sekitar bandar raya ini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula pada pukul 11 pagi itu memberi tumpuan kepada beberapa premis seperti bengkel jahit pakaian, kilang logam dan premis makanan yang disyaki menggajikan warga asing tanpa dokumen sah.

“Kesemua tahanan berusia antara 18 hingga 54 tahun terdiri daripada 19 lelaki dan 10 wanita Myanmar, enam lelaki dan empat wanita Indonesia, lima lelaki dan dua wanita India, seorang lelaki dan dua wanita Sri Lanka, lima lelaki Bangladesh, lima lelaki Kemboja serta seorang lelaki Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah selain disyaki menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja.

Menurut Datuk Mohd Rusdii, kesemua warga asing berkenaan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Johor menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras warga asing di negeri itu.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI