KUALA LUMPUR, 25 Januari - Seramai 60 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap dalam serbuan di tiga kilang kitar semula di kawasan perindustrian sekitar Kapar, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran-Atipsom) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka terdiri daripada 31 warga Myanmar, Bangladesh 14, Kemboja 12 dan tiga India dalam Operasi Khas Aman.
"Enam lagi tahanan adalah warga tempatan dan lima warga China disyaki berperanan mengurus dan menggajikan pekerja terbabit.
"Warga tempatan dan lima lelaki China akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala siasatan lain mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya kepada pemberita selepas operasi yang dijalankan bersama bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2.30 petang Rabu.
Menurutnya, dua kilang yang terletak bersebelahan di kawasan perindustrian itu dijadikan pusat mengitar semula barangan plastik dan alat elektronik.
Bangunan industri itu dipercayai menggunakan khidmat buruh dalam kalangan PATI.
Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan selanjutnya.