fb fb fb fb fb

6 suspek kes tembak di Jalan Stephen Yong direman mulai esok

Semua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun, tiba di Mahkamah Sesyen Kuching sekitar pukul 9.35 pagi

KUCHING, 27 April- Mahkamah Sesyen Kuching hari ini membenarkan permohonan reman terhadap enam individu yang ditahan berhubung kes tembakan hingga mengakibatkan kematian di Jalan Stephen Yong, untuk tempoh antara empat hingga tujuh hari bermula esok.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Heng Yi Min.

Tiga suspek, yang merupakan penumpang kenderaan mangsa, diperintahkan direman selama empat hari, manakala tiga lagi suspek dari sebuah kenderaan berasingan direman selama tujuh hari.

Perintah tersebut bertujuan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun, tiba di Mahkamah Sesyen Kuching sekitar pukul 9.35 pagi tadi dan diwakili peguam Russell Lim.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi serbuan yang dijalankan polis di beberapa lokasi berasingan sekitar Kuching dan Padawan, antara pukul 4.00 petang hingga 5.30 petang semalam.

Dalam operasi itu, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 10 butir peluru.

Dalam kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di dalam kenderaan selepas terkena dua das tembakan, masing-masing mengenai kepala dan lengan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE